Sememangnya masjid secara umumnya difahami sebagai tempat peribadatan. Ibadah menurut Islam merangkumi segenap aspek kehidupan muslim. Pendidikan merupakan asas tingkah laku manusia. Ia bukan merupakan satu keistimewaan bagi golongan-golongan tertentu. Pendidikan merupakan satu proses pembelajaran yang berterusan sepanjang hayat seorang insan. Ia bermula di dalam kandungan ibu lagi sehinggalah ke liang lahad. Di sini peranan ibu bapa sangat di perlukan dalam proses pendidikan anak-anak agar mereka mudah matang dan menjadi generasi Islam yang unggul dan bertaqwa.

Masjid Al-Azhar seharusnya dimaksimakan penggunaannya bukan hanya dalam aspek ibadat semata-mata bahkan dalam aspek penyebaran ilmu juga. Budaya ilmu ini bukan hanya berbentuk ceramah atau kuliah semata-mata akan tetapi perlu dalam versi yang pelbagai. Selain itu, pembudayaan ilmu dalam kalangan mahasiswa perlu diperluaskan skopnya seperti dengan mengadakan kelas-kelas agama kontemperori iaitu masalah berkaitan realiti hari ini dan kelas- kelas ilmiah seperti sains, sejarah, dan sebagainya. Selain itu, program diskusi atau perbincangan dalam bentuk kumpulan kecil berkaitan isu semasa seperti isu kalimah Allah, isu kenaikan harga barang, isu pluralisme dan seumpamanya perlu diadakan secara berkala dalam membentuk mahasiswa yang peka pada suasana mereka.

Hal ini akan memberi impak dalam melihat sejauh mana keperihatinan, penilaian, pembacaan dan penerimaan mahasiswa terhadap sesuatu isu. Selain itu, program ini penting sebagai persediaan diri mereka sebagai pemimpin dalam mengawal, memahami, menilai, membaca dan menempuh cabaran yang pastinya lebih mencabar berbanding hari ini.

  Daurah

Masjid Al-Azhar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) komited untuk menganjurkan program ilmiah berbentuk turathi dan talaqqi yang telah menjadi warisan tamadun Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W dan terus berkesinambungan dari satu generasi ke generasi serta berjaya melahirkan ulama rabbani yang telah menghiasi sejarah peradaban Islam. Program ilmiah ini begitu sinonim dengan proses Ta’dib yang dicanangkan oleh pihak pengurusan KUIS sekaligus membantu proses transformasi  yang  ingin dibawa. Tambahan, kehadiran ulama yang berwibawa yang memimpin program  ini  sudah tentu akan merancakkan lagi agenda Ta’dib ini. Program ini juga bertepatan dengan slogan “Masjid Sebagai Qalbu Universiti” yang dilihat tidak lari dengan manhaj talaqqi dan turath yang menjadi asas program ilmiah ini.

  • Daurah Talaqqi Kitab
    Sepanjang semester dua sesi 2013/14 Talaqqi kitab Hidayatus Sibyan telah diadakan setiap tengahari sebelum zohor iaitu dari hari Isnin hingga Khamis yang di sampaikan oleh Ustaz  Nasaruddin Awang di Masjid Al-Azhar. Daurah cuti semester telah diadakan pada 5-11 April 2014. Daurah ini di sampaikan oleh Dr Faisal Muhamad dan Ustaz Nasaruddin Awang. Antara kitab yang digunakan adalah Kitab Nukhbatul Fikar (Mustholah Hadis), Matan Umm Barahin (Aqidah). Pengajian ini dimulakan jam 9 pagi dan berakhir jam 11 malam sepanjang daurah dijalankan. Di harapkan dengan adanya budaya ilmu ini, Masjid al-Azhar juga dapat melahirkan insan yang berilmu berakhlak dan mampu menjadi dai’, ulama dan umarak suatu hari nanti.

  • Daurah Al-Quran Fi Qalbi (DAQIQ 2013)
    Program  ini  telah  berlangsung  selama  5  hari  bermula  dari  23-27  Disember  2013.  Dengan  objektif utamanya iaitu memantapkan bacaan melalui tasmik dan hafazan juz juz amma, program ini berjaya mendapat 86 orang peserta dari lingkungan usia 7 sehingga  14 tahun. Selain menghafaz, para peserta juga didedahkan dengan aktiviti sukan memanah sunnah dan juga beberapa siri pengisian yang disampaikan iaitu Ustaz Don Daniyal Biyajid, Ustaz Syarul Azman, Saudara Amin Idris dan juga Pn Salima Habibi.
  Kursus, Seminar dan Bengkel

Program-program ini didirikan di atas dasar asas-asas yang menyeluruh dari aspek kognitif, sosial, emosi, fizikal, moral dan kreativiti  yang  berpaksi  kepada  akidah  dan  rohani  yang  mantap. Setiap program yang anjurkan adalah menepati keseimbangan dan setara  dengan keperluan pembangunan material dengan pembinaan diri insani iaitu meletakkan tauhid dan keimanan sebagai identiti utama. Pihak AJK masjid telah  mengadakan beberapa bengkel, seminar antaranya bengkel usrah dan Badar di Nilai,  Negeri Sembilan pada hari Rabu, 30 April 2014 yang lepas. Ianya bertujuan membincangkan program-program usrah kepada pelajar KUIS, manakala BADAR membincangkan prosedur dan proses kerja dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan di dalam KUIS. Seminar Antarabangsa Masjid, Zakat dan Wakaf.

  Pusat Menghafal Al-Quran

Masjid telah digunakan sebagai pusat menghafal al-Quran. Halaqah al-Quran menjadi suatu tradisi di beberapa masjid terkemuka. Oleh itu, masjid Al-Azhar di jadikan tempat untuk menghafal al-Quran bagi pelajar diploma, sarjana muda tahfiz dan pelajar yang  mengambil subjek hafalan al-Quran. Setiap pagi suasana manghafal al-Quran diperkarangan masjid Al-Azhar adalah cukup mendamaikan dan dipenuhi halaqah hafalan quran.

  Menguruskan Usrah

Masjid Al-Azhar mengendalikan usrah kepada pelajar, staf kuis, khas kakitangan muslimah (yang dikenali sebagai Halaqah Mahabbah Muslimah Masjid) sebagai contoh Halaqah Mahabbah ini diadakan khusus untuk staf wanita yang menetap di kuarters kakitangan, felo wanita isteri / AJK Masjid bersama isteri Nazir iaitu Datin Muhibah. Dengan asas tuntutan ukhuwah dan perkongsian ilmu, halaqah dimulai dengan bacaan Surah Yassin, Solat Isyak’ Berjemaah dan  kupasan buku “Indahnya  Hidup  Bersyariat” disampaikan oleh Ustazah Safinah binti Ismail. Halaqah ditamatkan tepat jam 10.00 malam dengan juadah ‘potluck’. Bertempat di rumah Rektor KUIS, halaqah mahabbah, sebanyak 2 kali pertemuan iaitu pada 14 Februari 2014 dan 19 Mac 2014 telah diadakan dengan kehadiran seramai 15 orang pada setiap sesi. Bagi memudahkan urusan, BHEM dengan kerjasama Nisa’ Alam menyediakan khidmat nurseri atau aktiviti untuk si cilik yang turut serta bersama para ibu ke halaqah.

  Menerbitkan Bahan Bercetak

Penerbitan bahan-bahan bercetak ini tidak dinafikan juga turut memainkan peranan penting dalam penyebaran dakwah Islamiah dan juga proses memperkembangkan minda  masyarakat ke arah pembentukkan akidah yang sempurna. Justeru itu, pihak masjid  telah  menerbitkan bahan-bahan bacaan seperti risalah-risalah agama berkaitan dengan bulan  Islam, risalah umum dalam Soutul Masjid, Buletin al-Azhar dan sebagainya.

  Kids Friendly

Tiap-tiap orang kanak-kanak adalah didedahkan kepada pendidikan di rumah dan kemudiannya di sekolah. Masjid boleh dijadikan pusat pelengkap adab, sopan-santun dan sebagainya. Dengan kata lain, Institusi Masjid bolehlah dijadikan “finishing school”. Perkarangan masjid dapat menampung berbagai-bagai keperluan dalam usaha membantu pertumbuhan jasmani kanak-kanak sesuai dengan besarnya dorongan untuk bergerak (bermain dan bekerja) pada kanak-kanak.

Di antara aktiviti  yang dapat menanam hubungan kanak-kanak dengan masjid adalah seperti latihan (memanah) jasmani, olahraga, berbagai-bagai jenis perlumbaan dan pertandingan yang berbentuk ilmiah dan galakan seperti pertandingan mewarna dan sebagainya telah diadakan diperkarangan masjid KUIS atas dasar inilah pihak masjid banyak menganjurkan aktiviti untuk kanak-kanak. Dengan kerjasama dan sokongan yang kuat daripada pelbagai pihak seperti ADUN Bangi, Al-Azhar Members (ALAM) dan Persatuan Penduduk. Dengan adanya kerjasama ini maka terlaksanalah pelbagai program  yang dianjurkan. Di antara program yang dianjurkan termasuklah Daurah al-Quran fi Qalbi (DAQIQ 13) dalam usaha menjadikan masjid Al-Azhar sebagai masjid Kids friendly.

  Khutbah

Aspek penting dalam penyebaran dakwah terhadap masyarakat bagi memberi kesedaran yang memberansangkan. Namun, ia perlu diurus oleh yang arif kerana jika khatib yang tidak berpengalaman dalam komunikasi dengan orang ramai atau tidak fasih dengan bahasa-bahasa baru maka, sesebuah khutbah itu di  nilai sangat lemah dan tidak ‘hidup’ kerana khatib tersebut tidak pandai menarik perhatian jemaah atau audiens yang mendengar malah akan membuatkan jemaah sering tertidur. Selain itu juga, jiwa seseorang muslim akan terisi dengan ilmu Islam dan mendengar khutbah Jumaat secara tidak langsung dapat menunaikan sembahyang Jumaat.

Manakala bagi mereka yang tidak berkelapangan untuk mengikuti program-program keagamaan yang diadakan di masjid, maka sekurang-kurangnya dengan mendengar khutbah Jumaat setiap minggu sekali itu diharap dapat menambah ilmu pengetahuan dan membuka minda mereka yang cetek agama. Para AJK dan kakitangan masjid berjaya dalam gaya penyampaian khutbah Jumaat serta dapat menarik minat dan memberi kesan yang mendalam kepada hadirin mendengar dengan menjemput khatib jemputan setiap sebulan sekali selain dari AJK masjid. Terdapat sebilangan besar jemaah yang datang adalah dari kalangan warga KUIS, penduduk sekitar Bandar Seri Putra dan Bukit Mahkota dan yang berdekatan dengannya. Namun, yang dapat dilihat keberkesanan khutbah itu ialah masyarakat luar juga turut tidak melepaskan peluang mengikuti kuliah sebelum solat Jumaat itu. Khutbah disini terbahagi kepada dua iaitu khutbah Jumaat dan khutbah Hari Raya.