landscape masjid

Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor terletak di Bandar Seri Putra merupakan masjid yang telah dikategorikan sebagai “Masjid Institusi” kerana ianya terletak di dalam sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik sepenuhnya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang ditubuhkan di bawah akta IPTS 1996. Masjid ini merupakan jantung kepada UIS kerana kedudukannya yang amat stategik dan berada di titik tengah UIS. Selain itu, masjid ini juga turut menjadi tumpuan penduduk di sekitar Bandar Seri Putra, Bukit Mahkota, Taman Impian Putra dan Bangi Lama untuk menunaikan solat jumaat disebabkan masjid yang ada disekitar ini masih dalam pembinaan. Tambahan pula, masjid yang sedia ada berhampiran Pekan Bangi adalah kecil dan tidak dapat menampung bilangan jemaah berdekatan yang sedia ada.

Masjid ini telah dibina pada fasa pertama pembinaan UIS pada sekitar tahun 1998 hingga tahun 2000 dan diletakkan ditengah-tengah kawasan UIS yang berkeluasan 104 ekar. Masjid ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 25 Mei 2002. Dengan binaan 2 tingkat, masjid ini mampu memuatkan lebih kurang 3000 orang jemaah pada satu-satu masa.  Ruang solat utama masjid dijadikan tempat bagi jemaah lelaki untuk solat. Disamping itu juga, ianya turut diadakan aktiviti keagamaan contohnya, majlis maulidur rasul, pengajian kitab-kitab, ceramah agama, kuliah subuh, zohor dan maghrib. Selain itu juga, pihak UIS memanfaatkan penggunaan masjid dengan mengadakan penamaan calon bagi pilihan raya kampus (PRK) bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIS, majlis angkat sumpah, usrah mingguan mahasiswa dan lain-lain.

Masjid ini juga menerima kunjungan ilmuan antarabangsa seperti Almarhum Dr Muhammad Saied Ramadhan Al-Bouti, Syeikh Muhammad Ali As-Soubuni, Mustafa Bugha dan tidak ketinggalan para ilmuan dalam negara. Aras 1 merupakan kawasan untuk jemaah wanita menunaikan solat dan melakukan aktiviti yang dikhususkan untuk jemaah wanita seperti usrah, kuliah muslimat dan sebagainya. Akan tetapi, pada waktu jumaat, kedua-dua ruang akan dipenuhi oleh jemaah lelaki untuk menunaikan solat jumaat.

Senibina masjid ini menjadikan binaan pada zaman kegemilangan Islam pada kesultanan Uthmaniah sebagai contoh. Pada zaman kesultanan Uthmaniah, masjid mempunyai kubah masjid yang besar, mempunyai menara dan mempunyai ruang legar yang luas. Masjid pada kesultanan Uthmaniah juga mempunyai tiang-tiang yang tinggi, jalur-jalur kecil di antara saf-saf dan syiling yang jauh lebih tinggi dari kawasan lantai. Begitu juga senibina yang terdapat di Masjid Al-Azhar UIS. Selain itu juga dimasukkan sekali senibina Moorish dan Arab serta di adun bersesuaian dengan senibina Melayu dan moden.