oleh : Abu Haidar

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Telah ditulis ke atas anak adam itu nasibnya dari zina melalui pancainderanya, tidak boleh diubah ; iaitu dua mata zinanya pada penglihatan, dua telinga zinanya pada pendengaran, lidah zinanya pada percakapan, dua tangan zinanya pada sentuhan, dua kaki zinanya pada langkah, hati yang berimaginasi dan bercita-cita, kemudian faraj (kelamin) pula akan membenarkan dan menidakkannya."
[Riwayat Muslim]

Zina Hakiki, Zina Majazi.

Zina ialah perbuatan yang sangat dilarang dalam Islam. Kerana ia merosakkan nasab keturunan dan maruah manusia. Dari segi istilah zina terbahagi kepada dua kategori, zina hakiki dan zina majazi. Zina hakiki adalah hasil dari penyalahgunaan nafsu pada alat kelamin. Akibatnya berlaku persetubuhan haram antara bukan pasangan suami isteri dan juga bukan seorang tuan dan hambanya. Larangan dari mendekati zina yang terdapat pada surah al-Isra’ ayat… itu adalah zina yang hakiki. Perbuatan zina tersebut merupakan salah satu dari dosa besar yang mana hukuman duniawi di sisi Islam adalah hukuman hudud 100 kali sebatan.

Manakala zina majazi adalah seperti yang terkandung dalam hadis di atas. Zina yang berpunca dari penyalahgunaan pancaindera mata, telinga, lidah, tangan, dan kaki. Zina tersebut hanyalah dosa kecil dan tidak dikenakan hukuman hudud ke atas pelakunya. Tetapi ia boleh mendorong kepada kemuncak segala zina iaitu zina kelamin atau zina hakiki.

Benarlah pepatah arab yang bermaksud, “bermula dengan senyuman, kemudian percakapan, kemudian temujanji, kemudian pertemuan”.  Juga pepatah melayu, “dari mata jatuh ke hati”.


Allah Taala menjadikan setiap sesuatu itu bersama kebaikan dan keburukannya. Namun apa yang dikehendaki oleh Allah Taala hanyalah kebaikan darinya. Begitulah juga penglihatan, pendengaran, percakapan, sentuhan dan langkah. Orang  yang sering melakukan zina dengan lima deria tersebut memberi kesan buruk kepada hati. Kemudian hati yang sunyi dari iman akan memilih untuk melakukan zina kelamin.

Baginda pernah bersabda, “tidak berzina seorang penzina itu sedang dia beriman”.

 

Zina Zaman Moden.

Zaman moden memperlihatkan pelbagai teknologi rekaan manusia  yang bertujuan membantu memudahkan urusan harian mereka. Sehingga seakan-akan manusia kini tidak mampu hidup sempurna tanpa bantuan teknologi. Dalam masa yang sama, manusia kini semakin mudah terdedah dengan dosa-dosa kecil. Ya, sering terdedah dengan zina mata, telinga, lidah, tangan dan kaki!

Remajalah antara golongan yang terhadapan mendapat ancaman zina ini. Kerana boleh dikatakan hampir keseluruhan remaja sekarang ini terlibat dengan perkembangan teknologi. Terutamanya apabila capaian internet yang diperolehi kini bukan lagi dengan berkongsi komputer di sekolah atau di CyberCafe, malah masing-masing mampu mengakses internet dengan gajet peribadinya. Hanya Allah sahaja Maha Mengetahui apa yang kita lakukan.!

Gambar-gambar yang boleh membangkitkan nafsu syahwat ditayang di merata-rata laman internet tanpa diminta, apatah lagi jika diminta. Menyebabkan cahaya hati remaja kini semakin malap dan gelap. Apabila mata asyik melihat aurat di youtube dan facebook, telinga asyik mendengar suara teman wanita di corong talipon, lidah asyik menutur kata dusta dan lucah, tangan asyik menyentuh kulit wanita bukan mahram, dan kaki asyik melangkah ke tempat yang Allah benci, maka hati akan penuh dengan dosa-dosa kecil. Akhirnya ia mudah mengundang dosa besar iaitu melakukan zina kelamin.

Oleh itu Islam sangat menitikberatkan isu pandangan, dengan menganjurkan budaya menundukkan pandangan samada lelaki mahupun perempuan. Kerana dari pandangan, syahwat manusia terangsang untuk melakukan zina. Benar, pandangan pertama itu dimaafkan dan hanya pandangan kedua serta seterusnya itu dikira. Tetapi pandangan pertama itu dimaafkan hanya apabila tidak disengajakan.

 

Allah Sedang Menunggu Taubatmu.

Islam adalah agama yang sangat realistik. Diharamkan zina tapi dihalalkan persetubuhan selepas berkahwin. Larangan melakukan zina bukan hanya larangan dari melakukan persetubuhan secara haram, bahkan larangan tersebut bermula dari sekecil-kecil bentuk zina lagi. Kerana sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Oleh itu, menjaga pancaindera daripada melakukan zina kecil juga suatu tuntutan untuk memudahkan seseorang itu menghindari zina besar. Bayangkan jika seorang lelaki  yang sering melakukan zina dengan lima pancainderanya berada bersama teman wanitanya di rumah yang kosong di sebuah perkampungan yang jauh dari manusia lain. Apa akan berlaku? Adakah syaitan atau malaikat yang menjadi pendorong dia pada waktu itu? Fikirkanlah.

Justeru bertaubatlah dengan segera kembali kepada Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Pemurah. Sebelum ajal tiba, mungkin esok atau mungkin juga sekejap lagi. Disamping syukurilah nikmat pancaindera yang diberikan dengan menggunakan sepenuhnya untuk beribadat pada Allah. Selain itu masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan bersungguh-sungguh dalam mencegah segala kemungkaran demi menjaga maruah diri dan keluarga. “Wahai orang yang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka, yang mana bahan bakarannya adalah manusia dan juga batu.”

Wallahu a’lam.