oleh : Abu Haidar

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesunggunya wanita itu adalah aurat. Apabila dia keluar (dari rumahnya), syaitan akan menjadikan dia cantik (pada pandangan lelaki). Dan dia akan jauh daripada kasih sayang Allah Taala melainkan apabila dia berada di dalam rumahnya.”
[Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Hibban]

 

Syaitan Sebagai Tukang Make-up

Islam mengariskan untuk wanita muslimah berhijab, tidak menampakkan perhiasannya, tidak bertabarruj dan kekal di dalam rumahnya jika tiada urusan untuk ke luar. Apabila wanita keluar dari rumahnya, maka dia akan dimake-up oleh syaitan supaya kelihatan cantik di hadapan manusia.

Syaitan yang dimaksudkan adalah syaitan jin dan syaitan manusia. Syaitan jin akan menghiasi wanita tersebut pada pandangan lelaki agar dia tergoda dengannya.  Syaitan manusia pula akan menganggap wanita tersebutlah yang tercantik baginya, seterusnya mengagung-agungkan ‘kecantikan’ yang palsu itu di hadapan manusia yang lain.

 

Aurat vs Pandangan

Pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa kaum wanita diperintahkan untuk menutup aurat lebih dari lelaki. Sebagaimana yang Allah telah perintahkan di dalam Al-Quran iaitu ‘ayat-ayat hijab’ (Surah An-nur, ayat 31) yang khusus untuk wanita. Adakah hikmahnya hanya untuk menyelamatkan diri mereka dari dirogol?

Jawapannya tidak. Kesalahan merogol itu adalah kesalahan si pelakunya iaitu perogol (lelaki) kerana ia timbul dari keinginan syahwatnya sendiri. Setiap wanita pasti tidak mahu dirinya menjadi mangsa rogol sekalipun dia berpakaian menjolok mata. Malahan realitinya, ada juga wanita ‘afifah iaitu yang menjaga auratnya dengan sempurna pun turut sama menjadi mangsa rogol.

Allah Taala Maha Adil dan Bijaksana. Setiap peraturan dan hukumnya amat adil dan sama sekali tidak akan menzalimi hambaNya.

Apabila Allah Taala melarang wanita membuka auratnya kepada lelaki ajnabi, sebenarnya Allah Taala juga mahukan menjaga pandangan kaum lelaki. Sebaliknya apabila Allah Taala memerintahkan agar lelaki menjaga pandangan, ia bererti Allah Taala ingin menjaga kehormatan wanita itu sendiri. Justeru hikmah menundukkan pandangan dan memelihara aurat tidak terhad kepada diri sendiri sahaja bahkan kepada orang lain juga.
Aurat gandingannya pandangan. Memelihara aurat sahaja tidak lengkap tanpa menjaga pandangan. Ayuh kita muhasabah diri kita dengan memilih jawapan yang betul bagi soalan di bawah.

Pilih jawapan yang sesuai dengan diri anda?

  1. Menutup aurat + Menundukkan pandangan
  2. Menutup aurat + Mengangkat pandangan   
  3. Membuka aurat + Menundukkan pandangan    
  4. Membuka aurat + Mengangkat pandangan

Lihatlah bagaimana Islam memuliakan manusia. Dia memberi dua kemuliaan sekaligus kepada seorang muslim yang memelihara aurat dan memelihara pandangannya (Surah An-nur, Ayat 30 - 31). Kenapa kita masih memilih hanya satu kemuliaan?

Tips Hijab!

Pakaian TIDAK Syar'ie VS Pakaian Syar'ie
Ketat dan sendat hingga menampakkan bentuk badan
Menyerupai jantina yang berbeza
Menyerupai orang kafir
Tidak menutup sebahagian anggota badan sahaja
Tabarruj (perhiasan yang melampau)
Nipis hingga menampakkan warna kulit
Mempunyai ciri kemasyhuran yang membawa kepada riak dan takabbur
Longgar dan labuh
Pakaian sopan yang melambangkan identiti jantina sendiri (lelaki / wanita)
Melambangkan identiti muslim / muslimah
Menutup seluruh tubuh dengan sempurna kecuali muka dan tapak tangan
Tidak menarik perhatian orang
Tebal dan tidak jarang hingga menampakkan tubuh
Pakaian zuhud dan jauh dari lambang kesombongan

 

Pilih Islam, bukan memilih-milih Islam.

Islam menutup pintu kemaksiatan dan kerosakan bermula dari sekecil-kecil perkara. Seperti “jangan melihat aurat ajnabi” kemudian “jangan bercouple” seterusnya “jangan bersentuhan dengan bukan ajnabi” sehinggalah “haram berzina”.  Namun, sekiranya manusia masih melakukan maksiat, maka itu bukan salah Islam yang tidak mentarbiah. Tetapi salah manusia yang tidak mengikut tarbiah Islam secara keseluruhannya.

Beramallah dengan Islam secara keseluruhannya, bukan dengan memilih-milih. Ibarat mematuhi lampu isyarat; hanya patuh pada lampu merah tanpa berhati-hati pada lampu kuning. Perbuatan ini menyebabkan kereta akan terbabas atau mencederakan diri dan penumpang dek tidak mengambil endah pada peringatan lampu kuning.

Wallahu a’lam.