Dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran dan tentangan, mahasiswa amat perlu memperkuatkan akidah supaya tidak terpengaruh dan terjerumus ke dalam unsur-unsur negatif. Benteng akidah ini menjadi lebih penting lagi kerana sekarang ini terdapat ideologi, ajaran- ajaran serta pemahaman akidah yang menyesatkan seperti syiah, liberalisme, sosialisme, komunisme, tuhan Harun, ayah Pin, al-Arqom dan seumpamanya. Hal ini dapat dilihat melalui ceramah berkaitan isu-isu tersebut serta kempen-kempen yang telah dijalankan.

  Amar Ma'ruf dan Nahi Munkar

Pihak masjid mempunyai kuasa untuk menjemput atau memanggil pihak yang melakukan kesalahan untuk memberi nasihat tentang salah-laku warga KUIS yang bertentangan atau bercanggah dengan Islam iaitu di bawah Biro Amar Maaruf Dan Nahi Munkar (BADAR) Merupakan satu biro khusus dalam Jawatankuasa Masjid Al-Azhar.Tanggungjawab utama adalah untuk menguatkuasa undang-undang dan peraturan di dalam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. BADAR di anggotai oleh pegawai, pensyarah dan pelajar KUIS. Ianya di ketuai oleh Ustaz Safwan bin Ahmad. Manakala Ahli Jawatankuasanya ialah Ustaz Saifulah Samsudin dan Ustaz Syarul Azman daripada Akademi Islam KUIS serta En.Che Wan Shamsul Bahri C.W. Ahmad daripada Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat.

Manakala Ahli Jawatankuasa dalam kalangan pelajar pula diketuai oleh saudara Muhammad Azli Firdaus bin Che Seman. BADAR berusaha membantu Bahagian Pembangunan Mahasiswa (BPM) dan Bahagian Kediaman Dan Penempatan Mahasiswa BKPM dalam membentuk sahsiah pelajar KUIS sebagaimana yang dinyatakan di dalam Peraturan Tatatertib dan Tarbiyyah Pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) (Pindaan2011), mana-mana pekeliling atau arahan yang berkuatkuasa daripada semasa ke semasa. Di antara program utama BADAR adalah Liqo’dan Iftar BADAR, Bengkel Teori dan Praktikal (Recruit), Ops Jumaat dan Ops Rondaan. Ianya bagi memastikan biah solehah terjaga di KUIS. Operasi rondaan telah dijalankan pada 2 dan 3 April 2014 yang lepas dengan mengeluarkan nasihat dan notis hadir ke BPM bagi tindakan selanjutnya.

  Pusat Kebajikan Islam

Institusi Masjid Al-Azhar dijadikan sebagai pusat kebajikan Islam di mana segala masalah kebajikan orang Islam bolehlah dibawa ke masjid. Dengan kata lain, Institusi Masjid ialah sebuah institusi yang menjaga kebajikan warga KUIS. Sekiranya seseorang pelajar atau staf sakit atau mengalami kesusahan, pihak masjid akan membantu mereka contohnya apabila AJK masjid mendapat berita mereka akan berkunjung ke rumah pihak yang berkenaan, pihak masjid Al-Azhar juga turut terlibat dalam membantu mangsa banjir di Kemaman dan Kuantan di Pahang.

Jawatankuasa masjid juga telah bersetuju untuk memasang kipas besar di bahagian tengah-tengah dewan solat utama. Bagi memberikan keselesaan kepada jemaah masjid, kos pemasangan adalah sebanyak RM 67,000.00. Dana bagi projek pemasangan adalah melalui sumbangan ahli kariah serta beberapa syarikat dan agensi. Kerja-kerja pemasangan bermula pada 14.03.2014 dan siap sepenuhnya pada 24.03.2014.

  Pusat Kutipan Zakat

Masjid al-Azhar dengan kerjasama lembaga zakat Selangor telah menubuhkan pusat kutipan zakat. Ia terletak di satu sudut masjid al-Azhar. Para pembayar zakat boleh menunaikan Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Simpanan, Zakat Saham, Zakat KWSP, Zakat Emas, Zakat Perak, Qada Zakat, Zakat Harta di KUIS tanpa perlu berurusan di luar.